Tempoh Khidmat Wajib Pegawai Farmasi Di Kementerian Kesihatan Malaysia Dipendekkan Dari 3 Tahun Kepada 1 Tahun

Kategori berita: 

Ringkasan  Kenyataan Y.B. Menteri Kesihatan Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan khidmat wajib bagi semua graduan farmasi sejak  tahun 2004 sebagai satu langkah untuk mengatasi kekurangan pegawai farmasi sebanyak 40% di KKM.  Justeru itu, semua graduan farmasi diwajibkan untuk menjalani  1 tahun latihan dan 3 tahun khidmat wajib di KKM.   Sehingga kini, sebanyak 89% jawatan pegawai farmasi telah pun diisi di KKM.  

Bagaimana pun bilangan ahli farmasi dalam sektor swasta telah mengecil sehingga  45% dari jumlah ahli farmasi berdaftar yang melebihi 8600 orang dan kini industri farmaseutikal swasta pula menghadapi kekurangan pegawai farmasi. Bagi mengimbangi keperluan pegawai farmasi di industri farmaseutikal yang komited terhadap Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) dalam meningkatkan pengilangan ubat-ubatan generik tempatan supaya mampu bersaing di pasaran antarabangsa maka KKM telah mengambil inisiatif untuk memendekkan  tempoh khidmat wajib  bagi pegawai farmasi di KKM dari 3 tahun kepada 1 tahun.   Inisiatif ini telah pun mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 14 September 2011 dan dikuatkuasakan serta merta. Dengan memendekkan tempoh khidmat wajib, bidang industri farmaseutikal tidak lagi perlu menunggu lama sehingga pegawai farmasi menamatkan tempoh 3 tahun khidmat wajib nya di KKM.  

Langkah yang sedemikian juga dapat menyelesaikan kekurangan pegawai farmasi  yang diperlukan sebagai tenaga akademik di 16 buah institut pengajian tinggi (IPT) tempatan yang menawarkan program Ijazah Farmasi dan  30 buah IPT tempatan yang menawarkan Diploma Farmasi.  Kekurangan pegawai farmasi juga telah menjejaskan perkembangan bidang penjagaan kesihatan di sektor swasta seperti premis farmasi dan  hospital.   Melalui langkah ini akan menggalakkan lebih ramai pegawai farmasi tempatan untuk menceburi bidang farmaseutikal di sektor swasta yang kini terpaksa bergantung kepada pegawai farmasi dari negara lain.