Amaran Kepada Pengilang Ubat Atau Makanan Kesihatan Yang Mencampur Palsu Produk Mereka Dengan Bahan Racun Berjadual

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Isnin, 16 Ogos 2010

Kenyataan Akhbar Oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia Sempena Lawatan Rasmi Ke Bahagian Perkhidmatan Farmasi Pada 5 Ogos 2010

Adalah amat membimbangkan jika kita melihat kepada kecenderungan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mencampurkan produk-produk keluaran mereka yang berupa ubat-ubatan tradisional, makanan atau minuman kesihatan dan kosmetik dengan  bahan-bahan racun  (ubat terkawal).  Antara yang paling popular ialah:

  1. bahan aktif perangsang seks lelaki seperti  sildenafil, tadalafil, verdanafil atau analog-analog kepada bahan tersebut, 
  2. bahan aktif untuk mengurangkan selera makan seperti sibutramine dan analognya,
  3. bahan antiinflamatori seperti  dexamethasone dan bahan  kimiadari kumpulan `Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs’ (NSAID),
  4. kosmetik yang dicampurpalsu dengan bahan pemutih hydroquinone dan ubat jerawat tretinoin.

Sildenafil, tadalafil dan  verdanafil adalah ubat yang digunakan  untuk rawatan “erectile dysfunction”  yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh seorang doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi dari seorang doktor. Kesan sampingan ubat-ubat ini adalah sangat merbahaya kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan seorang doktor di antaranya ialah; serangan jantung, strok, pendarahan  otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya adalah kekal.

Sibutramine merupakan ubat yang digunakan dalam rawatan penurunan berat badan dengan bertindak secara mengurangkan nafsu makan. Penggunaan ubat ini hanyalah melalui diagnosis seorang doktor atau dibekalkan  oleh seorang ahli farmasi berlesen dengan preskripsi seorang doktor. Di antara kesan-kesan sampingan yang merbahaya terhadap pengambilan ubat ini ialah kegagalan jantung, kegagalan buah pinggang dan kesan kardiovaskular.

Hydroquinone adalah bahan kimia yang dilarang dalam sebarang sediaan kosmetik dan memberi kesan toksik kepada kulit di antaranya penghitaman, kanser kulit, kering dan kegatalan. Dalam dos yang tinggi ianya juga boleh  menyebabkan kesesakan nafas dan serangan lelah. Tritinoine  biasa digunakan dalam rawatan jerawat. Di antara kesankesan sampingan bahan ini ialah terbakar pada kulit, gatal, menggelupas, kekeringan dan kulit menjadi sensitif kepada cahaya ultraviolet.

Apa yang membimbangkan ialah apabila didapati terdapat juga pengilang-pengilang bertaraf  Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang terlibat sama dengan perbuatan jenayah farmaseutikal ini melalui penglibatan di kilang mereka sendiri ataupun  mereka bersekongkol dengan kilang-kilang yang diwujudkan secara haram melakukan kegiatan yang serupa tetapi berselindung sebagai kilang pengeluar bahan makanan kesihatan atau kosmetik.

Kegiatan mereka ini walaupun dibuat secara tersembunyi telah dapat dikesan oleh Pegawai Penguatkuasa Farmasi yang terus membuat pemantauan pasaran, risikan dan  serbuan serta rampasan, Statistik serbuan dan rampasan bagi 3 tahun kebelakangan ini menunjukkan kegiatan ini  sentiasa berterusan. Jumlah dan nilai rampasan setiap tahun adalah tinggi di mana  sejumlah 4,617 produk bernilai RM5,719,851 telah dirampas dalam tahun 2007, 9,679 produk bernilai RM13,663,854 dalam tahun 2008, 10,458 produk bernilai RM6,756,315 dalam tahun 2009 dan dari Januari sehingga Jun 2010 sejumlah 6,632 produk bernilai RM4,546,906 telah dirampas.

Rampasan terbaru pada 1 Julai 2010 yang lalu mendedahkan sifat tidak bertanggung jawab  pengusaha produk haram ini di mana didapati dari satu sumber adunan bahan yang sama mereka telah mengeluarkan tidak kurang dari 23 jenama dari  pelbagai jenis produk  yang  jumlah nilai pasarannya mencecah RM4,933,760. Produk-produk itu dibuat dalam bentuk ubat tradisional, minuman seperti  kopi dan teh, gula-gula, dan juga makanan yang berasaskan susu dan kolagen. Melihat kepada pembungkusan dan label pada kotak produk-produk ini kelihatan begitu meyakinkan dengan  menggunakan ilustrasi yang begitu kreatif bertujuan semata-mata untuk mempengaruhi dan mengaburi orang ramai.

Peningkatan berbagai jenama produk-produk ini  menunjukkan bahawa kegiatan ini berupaya memberikan keuntungan yang besar melalui  kelicikan mereka menipu masyarakat yang kononnya keluaran mereka adalah bersumberkan herba atau bahan-bahan asli. Walhal ianya mengandungi bahan yang sebenarnya cukup berbahaya sekiranya diambil tanpa pengetahuan dan tidak mengikut arahan yang betul.

Selain dari kesan negatif kepada masyarakat Malaysia, produk-produk ini juga telah dieksport keluar negara dengan penyamaran sebagai ubat tradisional, makanan kesihatan dan kosmetik.  Dikhuatiri hasrat negara untuk menjadi hub kepada produk tradisional berasaskan herba akan terjejas dengan teruk apabila tahap kebolehpercayaan masyarakat antarabangsa terhadap keluaran negara kita merudum dari perbuatan yang keji ini. 

Saya  ingin memberikan amaran kepada pihak-pihak yang terlibat dengan perbuatan ini supaya berhenti dengan serta merta dari kegiatan yang boleh membahayakan kesihatan orang awam  dan menjejaskan kepentingan negara ini.  Amaran ini juga ditujukan kepada pengedar-pengedar samada runcit ataupun melalui kaedah jualan langsung supaya tidak bersekongkol.  Mereka boleh menghubungi laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan www.bpfk.gov.my atau Bahagian Perkhidmatan Farmasi  www.pharmacy.gov.my untuk mendapatkan kepastian status produk. 

Kawalan ke atas produk farmaseutikal dan produk-produk makanan atau minuman yang dicampurpalsu dengan dadah atau ubat yang terkawal adalah di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Sabit kesalahan ialah denda 
RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi seseorang individu dan denda RM50,000 bagi sesebuah syarikat.

Menyedari bahawa hukuman yang sebanyak itu tidak mungkin akan mendatangkan keserikan bagi mereka yang berupaya meraih keuntungan jutaan ringgit dalam masa singkat dari kegiatan ini, maka KKM juga sedang dalam proses menyemak semula undang-undang yang berkaitan di mana peruntukan dalam  akta  yang  baru akan lebih  setimpal dengan hukuman yang  amat keras untuk menggambarkan betapa perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali.