Longgokan Ubat Tepi Jalan Bukan Dari Fasiliti KKM

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Jumaat, 17 Jun 2016
Sumber: 
Bahagian Perkhidmatan Farmasi

Kenyataan Akhbar
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Longgokan Ubat Tepi Jalan Bukan Dari Fasiliti KKM

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak akhbar KOSMO berkenaan laporan muka depan akhbar tersebut bertarikh 17 Jun 2016 yang bertajuk “Ubat Beracun Dibiar Berlonggok di Tepi Jalan”.

Susulan daripada laporan tersebut wakil daripada KKM telah pergi ke lokasi yang dilaporkan bersama dengan wakil daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan juga penduduk Kampung Orang Asli Kampung Batu 16 Gombak, En. Hamid Padam.

Hasil penemuan mendapati lokasi yang dilaporkan dalam KOSMO pada hari ini adalah lokasi yang berlainan daripada lokasi asal longgokan ubat yang telah dilaporkan pada 10 Disember 2015. Malah, longgokan ubat di lokasi lama tersebut telah pun dibersihkan. Walaubagaimanapun, ubat-ubatan yang didapati dalam kawasan tersebut merupakan ubat yang hampir sama dengan penemuan di dalam laporan sebelum ini. Berkenaan dengan laporan KOSMO yang lalu, perkara tersebut telah dimaklumkan dan diambil tindakan oleh Jabatan Alam Sekitar. Syarikat ubat yang berkenaan telah mengambil langkah-langkah bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi.

KKM ingin menegaskan bahawa ubat yang dijumpai bukan daripada fasiliti KKM. Semua fasiliti KKM akan melupuskan ubat-ubatan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan, iaitu melalui pihak Kualiti Alam atau perkhidmatan sokongan hospital, Radicare. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar telah menetapkan bahawa mana-mana pihak yang dengan tanpa lesen telah mengeluar, melepas atau meletakkan apa-apa benda berbahaya kepada alam sekeliling boleh dikenakan tindakan serius oleh mahkamah jika disabit kesalahan.

KKM sentiasa mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat dan memandang serius berkenaan penemuan ini. Syarikat / Pemegang lesen ubat sentiasa diingatkan supaya mematuhi garis panduan dan lunas undang-undang sedia ada yang telah ditetapkan. KKM mengalu-alukan orang ramai berkongsi maklumat sekiranya terdapat penemuan seperti ini di kawasan mereka dengan menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-78413200 atau laman web moh.spab.gov.my untuk sebarang aduan, atau pun berhubung terus dengan Jabatan Alam Sekitar.

Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
17 Jun 2016