Ulasan Laporan: 12 Chinese Herbs Banned for Use. Chinese Medicine Dealers Have Not Many Choices in Selecting The Use of Chinese Herbs

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Jumaat, 13 September 2013
Sumber: 
Oriental Daily News

Herba-herba yang dilarang untuk digunakan dalam produk siap kategori tradisional dan suplemen kesihatan adalah herba-herba yang mengandungi Racun Berjadual seperti yang tersenarai di bawah Akta Racun 1952/ Akta Dadah Berbahaya 1952 serta herba-herba yang dilarang penggunaannya disebabkan laporan kesan advers yang menyebabkan kesan toksik ke atas buah pinggang dan hati. Produk tradisional dan suplemen kesihatan boleh dijual terus kepada pelanggan tanpa preskripsi dan tanpa dibawah seliaan pengamal perubatan. Oleh yang demikian, herba-herba ini dilarang dalam produk siap kategori ini memandangkan herba ini mempunyai kesan terapeutik yang tinggi yang mana sekiranya penggunaannya tidak dikawal akan mendatangkan kesan mudarat kepada kesihatan.

Menurut keratan akhbar tersebut, terdapat 12 jenis herba yang dilarang penggunaannya iaitu Cortex Magnolia, Herba Ephedrae, Herba Asari, Radix Clematidis, Radix Euphorbiae, Radix Aconiti, Semen Alpiniae, Caulis Akebiae, Fructus Cannabis Sativa (Ma Tze Ren), Radix Aconitum Carmichaeli (Chuan Wu), Natril Sulfas dan Radix Peucedani. Walau bagaimanapun daripada senarai ini, hanya empat herba sahaja yang dilarang penggunaannya dalam produk siap kategori tradisional dan suplemen kesihatan iaitu Ma Huang (Ephedra), Aconiti, Magnolia dan Cannabis Sativa (Ma Tze Ren).

Herba Ma Huang (Ephedra) dan Aconitum spp. (Radix Aconiti dan Radix Aconitum Carmichaeli) dilarang kerana mengandungi Racun Berjadual seperti yang tersenarai di bawah Akta Racun 1952 (Ephedrine).

  • Magnolia Officinalis dilarang kerana terdapat laporan kesan advers yang mengakibatkan kesan toksik ke atas buah pinggang.
  • Cannabis Sativa mempunyai bahan kimia cannabinoids di mana herba ini boleh menyebabkan kecenderungan untuk disalahgunakan dan penggunaannya secara jangka masa panjang boleh menyebabkan ketagihan.
  • Herba Asari dan Clematidis spp: penggunaannya adalah dilarang sekiranya herba tersebut dikesan mengandungi bahan kimia Aristolochic Acid. Aristolochic Acid merupakan bahan kimia yang boleh menyebabkan kesan toksik ke atas buah pinggang.

Herba/ bahan lain yang disenaraikan seperti Radix Euphorbiae, Natrii Sulfas, Semen Alpiniae, Caulis Akebiae dan Radix Peucedani masih dibenarkan penggunaannya. Terdapat beberapa produk yang mengandungi herba-herba ini yang telah didaftar oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Senarai herba-herba yang dilarang untuk digunakan dalam produk siap kategori tradisional dan suplemen kesihatan boleh didapati daripada Drug Registration Guidance Document yang boleh dimuat turun daripada laman sesawang Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di www.bpfk.gov.my.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sedang dalam perbincangan dengan wakil-wakil Persatuan Pengamal Tradisional Cina untuk mengkaji semula senarai herba-herba ini. Prosedur di mana herba-herba ini boleh dibenarkan untuk digunakan oleh pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sahaja sedang disediakan.

Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat negara ini dan berharap agar pihak-pihak berkenaan sentiasa memberikan kerjasama dalam menyokong dan menyumbang terhadap perkembangan industri tradisional tempatan. Kementerian Kesihatan memberikan jaminan bahawa semua hasrat dan pendapat industri, pengamal dan pengguna diambilkira sebelum keputusan perlaksanaan dalam menentukan keseimbangan antara kualiti, efikasi ubat dan keselamatan pengguna.

 

Sekian, terima kasih.

Dato’ Eisah Abdul Rahman
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia