Hologram Meditag Baru

Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa berusaha untuk memastikan semua produk farmaseutikal termasuk ubat tradisional dan suplemen kesihatan yang dijual di Malaysia berkualiti, berkesan dan selamat untuk digunakan. Semua produk farmaseutikal yang ingin dijual di Malaysia perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan kepada pengguna. Kawalan ke atas penjualan produk farmaseutikal ini telah dimulakan  pada tahun 1985 dengan fasa pertama bagi pendaftaran produk yang mengandungi racun yang tersenarai dalam Akta Racun 1952. Penguatkuasaan pendaftaran produk ini diteruskan dengan produk bukan racun (OTC) pada  tahun  1988,  produk  tradisional pada 1992 dan disusuli oleh produk veterinar yang akan dikuatkuasakan mulai tahun 2014. Setiap produk farmaseutikal yang telah didaftarkan akan diberi satu nombor pendaftaran yang khusus (contoh MAL 20001564T) dan perlu dicetak pada label atau pembungkusan  produk tersebut.

Pada awalnya, penguatkuasaan penggunaan nombor pendaftaran ini berkesan dan dapat membantu pengguna untuk membeli ubat dengan selamat. Walau bagaimanapun pemantauan pasaran yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM telah mengesan kewujudan produk farmaseutikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu ataupun milik produk lain. Ini kerana nombor pendaftaran ini  mudah ditiru dan pengguna mungkin sukar untuk mengesahkan kesahihannya sewaktu di pasaran.

Bagi mengatasi masalah ini dan mengembalikan keyakinan pengguna, satu langkah penambahbaikan telah diambil dengan pengenalan penggunaan pelekat hologram Meditag pada semua produk farmaseutikal. Hologram ini telah mula digunakan pada tahun 2005 dan mempunyai pelbagai ciri keselamatan yang boleh diperhatikan oleh pengguna dan juga oleh pegawai penguat kuasa farmasi. Hologram ini dikeluarkan oleh Syarikat Mediharta Sdn Bhd dan hanya dibekalkan kepada pengilang  ataupun pengimport yang dilesenkan oleh KKM bagi memastikan ianya tidak disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Semua produk berdaftar perlu mempamerkan nombor pendaftaran produk dan label hologram Meditag pada label atau pembungkusannya. Hologram versi pertama ini telah digantikan dengan  versi  kedua pada tahun 2006 dengan peningkatan ciri keselamatan  dan  bagi  memudahkan pengguna.

Bagi  membolehkan  pengguna  memeriksa  ketulenan  label  hologram  Meditag  yang terdapat  pada kotak ubat, KKM juga  telah  membekalkan  sejenis alat yang dinamakan dekoder Meditag. Alat ini telah dibekalkan  kepada semua premis farmasi  berlesen dan pejabat Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di setiap negeri. Pengguna boleh memeriksa ketulenan  label hologram Meditag pada produk yang dibeli dengan  menggunakan  alat ini. Pengguna  digalakkan  agar  membeli  produk kesihatan  daripada  premis yang sah seperti kedai farmasi dan mendapatkan khidmat nasihat ahli farmasi sebelum membeli sebarang jenis ubat kerana kekeliruan boleh berlaku disebabkan oleh rupa bentuk atau tuntutan perubatan yang hampir sama. Ahli Farmasi sedia membantu anda dalam memeriksa ketulenan produk yang dibeli.

Pengguna  juga     boleh    menyemak    kesahihan    nombor    pendaftaran    produk   dengan melayari  Iaman web  Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)  di www.npra.gov.my.   Maklumat   berkaitan   produk   berdaftar   boleh   disemak   secara   terus   melalui   Iaman tersebut.  Nombor  pendaftaran yang tidak wujud dalam  sistem tersebut  adalah  dikhuatiri  palsu.

Selaras dengan perkembangan sains dan teknologi dan bagi mengelakkan pemalsuan, hologram versi ketiga (Meditag III) telah diluluskan untuk digunakan mulai 1 November 2012. Hologram ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terkini dan lebih mesra pengguna. Sebarang pertanyaan atau maklumat tambahan, berhubung perkara ini sila hubungi :

Bahagian Penguatkuasaan  Farmasi,
Kementerian Kesihatan Malaysia
Lot 36, Jalan Universiti,
46350 Petaling Jaya, Selangor.
Tel : 03-78413200  Faks : 03-79682251

Laman web : www .pharmacy.gov.my
E-mel:   pharmacy1@moh.gov.my