Sejarah Kami

Sejarah perkhidmatan farmasi di Malaysia bermula pada tahun 1951 dengan berkuatkuasanya Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. Semasa zaman pra-kemerdekaan, fungsi utama perkhidmatan farmasi pada asalnya hanya terbatas kepada tujuan perolehan, penyimpanan dan pengedaran ubat-ubatan dari United Kingdom melalui Crown Agents.

Di bawah Rancangan Malaysia Kedua (1961-1965), Makmal Ubat dan Stor telah dibina di Petaling Jaya pada tahun 1969. Pembinaan makmal ini merupakan mercu tanda kepada perkembangan peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM. Semenjak itu, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM telah berjaya membekalkan sumber ubat yang murah, kos efektif dan berkualiti tinggi untuk program perubatan dan kesihatan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia yang pada ketika itu sedang menekankan pelaksanaan pemberian perkhidmatan kepada kesihatan luar bandar.

Pada tahun 1969, Bahagian Kimia Farmaseutikal telah ditubuhkan secara rasmi untuk memenuhi keperluan perhidmatan farmasi yang sedang berkembang pesat. Pegawai Farmasi pada ketika itu dikenali sebagai Ahli Kimia Ubat (AKU). Bahagian ini secara rasminya dinamakan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM pada 1 Januari 1974. Ini merupakan satu pengiktirafan terhadap peranan yang dimainkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM dalam memperluaskan perkhidmatan farmaseutikal dalam sektor kesihatan negara.

Pada 1 Januari 1976, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi ditubuhkan di bawah organisasi ini untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan perundangan berkaitan farmasi dan perdagangan farmaseutikal di negara ini secara lebih efisien.

Pada tahun 1970, skop perkhidmatan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM telah diperluaskan untuk meliputi jaminan kualiti (Quality Assurance) farmaseutikal di negara ini. Makmal Kawalan Kimia Ubat Kebangsaan (MKKUK) yang kemudiannya dinamakan sebagai Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah ditubuhkan pada Oktober 1978 di bawah Rancangan Malaysia Kedua untuk melaksanakan tanggungjawab regulatori.

Pengisytiharan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik pada Jun 1984 menandakan permulaan era regulatori di Malaysia. Ini meletakkan tanda aras yang perlu ke arah pembentukan sistem regulatori farmaseutikal di Malaysia yang lebih sistematik . Pada Januari 1985, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dengan misi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk farmaseutikal sebelum dipasarkan di Malaysia. Untuk mencapai matlamat ini, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) melalui sekretariat yang berpusat di Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) menjalankan fungsi pengawalseliaan seperti pendaftaran produk, analisis sampel, pemeriksaan dan pelesenan, pasca-pemasaran pengawasan dan pemantauan kesan sampingan ubat.

Lembaga Farmasi Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 memperakui pendaftaran 20 ahli farmasi pada tahun 1952. Pada tahun kemerdekaan, tahun 1957, terdapat seramai 23 orang ahli farmasi berdaftar berkhidmat dalam sektor awam. Oleh sebab kekurangan ahli farmasi dan keperluan mendesak untuk menyediakan dan mengekalkan perkhidmatan asas farmasi di hospital-hospital awam dan klinik kesihatan, Dispenser Training School telah ditubuhkan sebagai langkah pengganti sementara.

Kekurangan ahli farmasi terus menjejaskan perkembangan perkhidmatan farmasi di negara ini khususnya, peruntukan perkhidmatan klinikal dan penjagaan farmaseutikal kepada pesakit. Sebagai langkah jangka panjang, perkhidmatan wajib diperkenalkan di sektor awam, melalui pindaan kepada peraturan-peraturan di bawah Akta  Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 pada tahun 2003. Pendaftaran Ahli Farmasi (Pindaan) 2003 telah dikuatkuasakan pada 2 September 2004.