Umum

Apakah yang boleh dilakukan sekiranya mendapat pertanyaan atau ingin mendapatkan penjelasan berkenaan format iklan yang diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat?

Pemohon boleh menghubungi pihak sekretariat Lembaga Iklan Ubat melalui panggilan telefon (03-7841 3200), emel (liu@moh.gov.my), surat-menyurat dan juga perjumpaan secara bersemuka sekiranya memerlukan penjelasan berkenaan format yang diluluskan. Pegawai akan memberikan justifikasi dan penjelasan berkenaan tuntutan yang tidak diluluskan dalam format iklan atau format iklan yang tidak diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat.

Apakah langkah penambahbaikan seterusnya bagi LIU dalam proses permohonan kelulusan?

Program Perkhidmatan Farmasi kini sedang membangunkan sistem dalam talian yang dipanggil MyPharmaC yang membolehkan permohonan kelulusan iklan secara dalam talian. Sistem ini akan merangkumi pembayaran dan permohonan kelulusan iklan secara dalam talian yang bakal memudahkan proses permohonan dan kelulusan iklan.

Apakah perbezaan antara garis panduan baharu dan garis panduan lama?

Perbezaan utama dalam garis panduan baharu ialah penambahan contoh untuk menjelaskan konteks garis panduan dengan lebih baik. Selain itu, garis panduan baharu juga mengandungi infografik carta keputusan, panduan mengisi borang permohonan, borang permohonan untuk permohonan baru dan pindaan, format surat sokongan selebriti dan keterangan pelanggan, dan notis rayuan kepada Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Terdapat juga perubahan peruntukan dalam garispanduan baharu seperti siaran akhbar produk baharu kini dibenarkan untuk diterbitkan lebih daripada satu kali; produk suplemen boleh ditawarkan sebagai hadiah percuma dengan pembelian produk yang sama; dan kenyataan wajib "Ini adalah ubat/produk tambahan/produk tradisional" telah dikeluarkan dari format iklan turut dinyatakan dalam garis panduan baharu.
 

Adalah iklan yang berkaitan dengan Program Kesedaran Penyakit dibenarkan?

Program kesedaran penyakit atau kempen pendidikan kesihatan yang bertujuan mewujudkan kesedaran tentang kesihatan dan penyakit tanpa mempromosi produk ubat adalah dibenarkan kerana tiada pelanggaran di bawah Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Pihak penganjur hendaklah sentiasa memastikan tiada sebarang iklan berkaitan produk ubat-ubatan disiarkan atau dipamerkan semasa program dijalankan. 

Adakah penawaran produk percuma dibenarkan dengan pembelian produk yang sama?

Ya, berkuatkuasa pada 1 Oktober 2022, pemberian produk percuma adalah dibenarkan bagi iklan produk suplemen sahaja. Produk percuma tidak dibenarkan untuk iklan produk tradisional, produk tanpa preskripsi (Over The Counter medicine, OTC) atau produk racun. Sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Iklan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 8.4 Produk Percuma.

Adakah tawaran hadiah percuma dengan pembelian produk kesihatan dibenarkan dalam iklan? Apakah jenis hadiah percuma yang dibenarkan oleh LIU?

Ya, sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Iklan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 8.3 Hadiah. Walaubagaimanapun, sebarang tawaran hadiah mahal yang mampu mendorong orang awam untuk membeli produk, bukan atas keperluan sebenar, tidak dibenarkan. Sila rujuk juga kepada Garis Panduan Kelulusan Iklan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 8.2 Galakan Pembelian Keterlaluan Atau Penggunaan Sembarangan. Contoh hadiah percuma yang dibenarkan termasuk pen, cawan, mainan lembut, dan sebagainya.

Bolehkah tuntutan kepimpinan (contoh: No. 1) produk dibuat dalam iklan?

Tidak, penggunaan tuntutan kepimpinan bagi sesuatu produk adalah dilarang. Tinjauan yang bergantung pada data yang tidak disahkan, disebabkan oleh ketiadaan pengiktirafan oleh pihak berkuasa, tidak boleh dibenarkan. Selain itu, membuat tuntutan kepimpinan bagi sesuatu produk berupaya mencaci, menyangkal dan memperkecil-kecilkan imej produk pesaing sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 3.9 Mencaci, Menyangkal dan Memperkecil-kecil Pihak Lain dan No.19 Lampiran 7 (Senarai Contoh Superlatif/Hiperbola).

Adakah perbandingan dengan produk "Jenama X" dibenarkan dalam iklan?

Sila rujuk kepada Perenggan 4.8, Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar, perbandingan produk ubat berdaftar dengan produk "Jenama X" adalah tidak dibenarkan. Ini adalah kerana produk "Jenama X" adalah produk ubat yang tidak berdaftar dan tidak boleh dikenalpasti. Oleh itu, perbandingan dengan produk ubat yang tidak wujud adalah tuntutan yang palsu. 

Adakah pengiklanan perbandingan dibenarkan dalam iklan?

Sila rujuk kepada Perenggan 4.8, Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar. Pengiklanan perbandingan adalah dibenarkan untuk akuan perbandingan produk-produk keluaran syarikat yang sama.

Adakah kenyataan daripada profesional Kesihatan dibenarkan dalam iklan produk kesihatan?

Profesional kesihatan dibenarkan untuk menyertai siaran akhbar produk baharu bagi menjelaskan tentang penyakit, statistik penyakit, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, profesional kesihatan tidak dibenarkan sama ada secara langsung atau tidak langsung, untuk mempromosi, mencadang, memberi sokongan atau menggalakkan penggunaan produk baharu dalam iklan yang diterbitkan. Sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 4.3 Tanggapan Nasihat atau Endorsan Professional Penjagaan Kesihatan.
 

Halaman-halaman