Ulasan Laporan: “Is Niu Huang Jie Du Pian Poisonous? Tong Ren Tang: The Standard Of Drug Usage & Policy For Western Medications Is Different From Chinese Traditional Medications”

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Sabtu, 24 Ogos 2013
Sumber: 
Nanyang Siang Pau

Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 24 Ogos 2013 telah melaporkan tentang amaran oleh pihak Medicines and Healthcare Products Regulatory Agency (MHRA), United Kingdom yang dikeluarkan pada 20 Ogos 2013 kepada orang awam agar tidak membeli produk Traditional Chinese Medicine (TCM) tidak berlesen yang dikesan mengandungi paras merkuri, plumbum dan arsenik yang tinggi. Produk-produk yang disenaraikan oleh MHRA adalah produk Niu Huang Jie du Pian, produk Bai Foong Wan dan produk Hairegenerator.

Produk Niu Huang Jie Du Pian dari pengilang Beijing Tong Ren Tang, China dilaporkan menggunakan ramuan daripada sumber logam arsenic dan tidak dibenarkan di United Kingdom. Walau bagaimanapun, pihak pengilang menegaskan bahawa produk ini telah dikilangkan mengikut piawai yang ditetapkan oleh negara China.

Produk Bai Foong Wan atau juga dikenali sebagai Bak Foong Pills dari pengilang Hong Kong Medicine Manufactory telah dikesan mengandungi paras plumbum yang tinggi, manakala produk Hairegenerator dari pengilang Hang Cheong Lung Pharmaceutical Limited, Hong Kong dikesan mengandungi paras merkuri yang melebihi had yang dibenarkan.

Akhbar ini turut melaporkan produk lain dari pengilang Beijing Tong Ren Tang, China iaitu produk Jian Ti Wu Bu Wan yang didapati mengandungi paras merkuri yang tinggi serta Niu Huang Chien Jin San dan Siau Er Zhi Pau Wan dilaporkan mengandungi cinnabaris (mercuric sulphide). Syarikat Nanjing Tong Ren Tang Medicine Co. yang merupakan anak syarikat Beijing Tong Ren Tang juga dikaitkan dengan pengiklanan produk Chee Chang Jie Shue Ker Li menggunakan tuntutan-tuntutan yang mengelirukan sehingga membawa kepada penggantungan penjualan produk ini dari pasaran.

Logam berat seperti plumbum, arsenik dan mercuri boleh wujud secara semulajadi dalam persekitaran atau dari aktiviti manusia seperti bahan buangan industry dan penggunaan racun perosak. Kehadiran logam ini dalam produk tradisional dikaitkan dengan penggunaan bahan-bahan ramuan yang telah tercemar dengan logam berat ini. Arsenik boleh menyebabkan kesan keracunan seperti pigmentasi dan penebalan kulit (hyperkeratosis), muntah, sakit perut, cirit-birit dan dilaporkan sebagai karsinogenik (boleh menyebabkan kanser) jika terdedah dalam jangka masa panjang dan dalam kuantiti berlebihan. Plumbum boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan seperti anemia, kerosakan pada sendi, otak dan buah pinggang jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan. Merkuri pula boleh memberi kesan keracunan seperti rasa kebas atau gatal, sakit, pertukaran warna kulit (pipi, hujung jari dan jari kaki berwarna merah jambu), bengkak dan kulit melupas serta kesan yang lebih serius adalah kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Produk-produk tradisional yang dipasarkan di Malaysia perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia. Produk-produk berdaftar telah dinilai kualiti dan keselamatannya dan perlu sentiasa mematuhi piawai kualiti yang telah ditetapkan termasuk had logam berat. Program pengawasan mutu produk berdaftar yang dikendalikan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) memantau produk-produk berdaftar dalam pasaran Malaysia secara berterusan bagi memastikan piawai kualiti sentiasa dipatuhi.

Produk Niu Huang Jie Du Pian dari pengilang Beijing Tong Ren Tang, China merupakan produk yang tidak berdaftar dengan PBKD. Produk Niu Huang Jie Du Pian yang berdaftar di Malaysia dikilangkan oleh pengilang berbeza. Produk-produk lain yang dinyatakan dalam laporan ini juga tidak berdaftar dengan PBKD. Sehubungan itu, orang awam digesa supaya tidak membeli atau menggunakan produk-produk tidak berdaftar dengan PBKD kerana tidak dijamin kualiti dan keselamatannya. Sesiapa yang ada mengambil produk-produk ini dinasihatkan untuk berhenti menggunakannya serta-merta.

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk dengan melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my atau menghubungi BPFK di talian 03-7883 5400. Sekiranya didapati terdapat produk tidak berdaftar dalam pasaran, orang ramai digalakkan untuk membuat laporan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui talian 03-7841 3200/3396 atau e-mel pharmacy1@moh.gov.my.

 

Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan
Kementerian Kesihatan Malaysia

23 September 2013