Bagaimana Kenalpasti Iklan Yang Telah Diluluskan?

Semua iklan ubat yang telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat akan diberikan dengan nombor kelulusan (contoh KKLIU 1234/2020). Nombor KKLIU akan dimulai dengan 4 digit mengikut siri dan diakhiri dengan tahun permohonan kelulusan iklan dibuat. Nombor kelulusan perlu dipaparkan pada setiap iklan yang disiarkan dalam mana-mana media penyiaran dan bagi iklan berbentuk audio, hanya memadai menyatakan ‘Iklan ini telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat’. Pengguna juga diminta agar tidak terkeliru di antara nombor pendaftaran MAL dengan nombor siri kelulusan iklan KKLIU.

 

NO. PENDAFTARAN MAL

NO. SIRI KELULUSAN KKLIU

CONTOH

MAL12345678X

KKLIU 1234/2020

WAJIB DILETAKKAN

Pada produk

Pada Iklan

PIHAK BERKUASA

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD)

Lembaga Iklan Ubat (LIU)

 Ini melibatkan kelulusan iklan bagi produk kategori ;

  • Suplemen kesihatan (No. MAL diikuti 8 digit dan diakhiri dengan huruf N cth : MAL12345678N);
  • Ubat-ubatan tradisional (No. MAL diikuti 8 digit dan diakhiri dengan huruf T cth : MAL12345678T); dan
  • Ubat am (over-the-counter) (No. MAL diikuti 8 digit dan diakhiri dengan huruf X cth : MAL12345678X); yang berdaftar dengan PBKD, KKM

Ubat Terkawal (No. MAL yang diakhiri dengan huruf A adalah dilarang untuk diiklankan terus kepada orang awam (kecuali produk Terapi Gantian Nikotin sahaja dibenarkan untuk diiklankan kepada orang awam dengan kelulusan LIU).

Merujuk kepada Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, pengiklanan ubat dan produk kesihatan serta kecantikan adalah dilarang sama sekali untuk membuat tuntutan perubatan terhadap:

  • 20 jenis penyakit bagi tujuan pencegahan, rawatan atau diagnosis. Antaranya penyakit darah tinggi, kencing manis, kanser, kemandulan, penyakit mata dan lain-lain penyakit kronik
  • peningkatan fungsi buah pinggang atau jantung
  • peningkatan prestasi seksual
  • pengguguran kandungan

Iklan ubat yang melibatkan penyakit selain daripada di atas dibenarkan untuk diiklankan tetapi perlulah mendapat kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat terlebih dahulu. Pengawalan ini adalah bertujuan untuk memastikan integriti iklan; maklumat yang sampai kepada pengguna tidak mengelirukan, tepat dan disokong dengan bukti-bukti yang sahih.