Awam

Apakah langkah penambahbaikan seterusnya bagi LIU dalam proses permohonan kelulusan?

Program Perkhidmatan Farmasi kini sedang membangunkan sistem dalam talian yang dipanggil MyPharmaC yang membolehkan permohonan kelulusan iklan secara dalam talian. Sistem ini akan merangkumi pembayaran dan permohonan kelulusan iklan secara dalam talian yang bakal memudahkan proses permohonan dan kelulusan iklan.

Apakah perbezaan antara garis panduan baharu dan garis panduan lama?

Perbezaan utama dalam garis panduan baharu ialah penambahan contoh untuk menjelaskan konteks garis panduan dengan lebih baik. Selain itu, garis panduan baharu juga mengandungi infografik carta keputusan, panduan mengisi borang permohonan, borang permohonan untuk permohonan baru dan pindaan, format surat sokongan selebriti dan keterangan pelanggan, dan notis rayuan kepada Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Terdapat juga perubahan peruntukan dalam garispanduan baharu seperti siaran akhbar produk baharu kini dibenarkan untuk diterbitkan lebih daripada satu kali; produk suplemen boleh ditawarkan sebagai hadiah percuma dengan pembelian produk yang sama; dan kenyataan wajib "Ini adalah ubat/produk tambahan/produk tradisional" telah dikeluarkan dari format iklan turut dinyatakan dalam garis panduan baharu.
 

Adalah iklan yang berkaitan dengan Program Kesedaran Penyakit dibenarkan?

Program kesedaran penyakit atau kempen pendidikan kesihatan yang bertujuan mewujudkan kesedaran tentang kesihatan dan penyakit tanpa mempromosi produk ubat adalah dibenarkan kerana tiada pelanggaran di bawah Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Pihak penganjur hendaklah sentiasa memastikan tiada sebarang iklan berkaitan produk ubat-ubatan disiarkan atau dipamerkan semasa program dijalankan. 

Adakah iklan produk veterinar berdaftar memerlukan kelulusan daripada LIU?

Merujuk kepada Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, 

(1)Tiada seseorang pun boleh mengambil apa-apa bahagian dalam penyiaran apa-apa iklan yang merujuk kepada apa-apa artikel, atau artikel-artikel daripada apa-apa jenis, dalam keadaan yang direncanakan untuk mempengaruhi penggunaan artikel atau artikel-artikel daripada jenis itu sebagai ubat, alat atau penyembuh, bagi maksud merawat atau mencegah penyakit atau keadaan manusia selain penyakit dan keadaan yang dinyatakan dalam subseksyen 3(1), melainkan jika iklan itu telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat.

Sehubungan dengan itu, iklan produk veterinar yang digunakan untuk haiwan bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Iklan Ubat. Selain itu, Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar juga menetapkan bahawa panduan ini tidak terpakai kepada iklan produk veterinar (Perenggan 1.3 Skop Pemakaian).
 

Adakah penawaran produk percuma dibenarkan dengan pembelian produk yang sama?

Ya, berkuatkuasa pada 1 Oktober 2022, pemberian produk percuma adalah dibenarkan bagi iklan produk suplemen sahaja. Produk percuma tidak dibenarkan untuk iklan produk tradisional, produk tanpa preskripsi (Over The Counter medicine, OTC) atau produk racun. Sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Iklan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 8.4 Produk Percuma.

Adakah tawaran hadiah percuma dengan pembelian produk kesihatan dibenarkan dalam iklan? Apakah jenis hadiah percuma yang dibenarkan oleh LIU?

Ya, sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Iklan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 8.3 Hadiah. Walaubagaimanapun, sebarang tawaran hadiah mahal yang mampu mendorong orang awam untuk membeli produk, bukan atas keperluan sebenar, tidak dibenarkan. Sila rujuk juga kepada Garis Panduan Kelulusan Iklan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 8.2 Galakan Pembelian Keterlaluan Atau Penggunaan Sembarangan. Contoh hadiah percuma yang dibenarkan termasuk pen, cawan, mainan lembut, dan sebagainya.

Bolehkah tuntutan kepimpinan (contoh: No. 1) produk dibuat dalam iklan?

Tidak, penggunaan tuntutan kepimpinan bagi sesuatu produk adalah dilarang. Tinjauan yang bergantung pada data yang tidak disahkan, disebabkan oleh ketiadaan pengiktirafan oleh pihak berkuasa, tidak boleh dibenarkan. Selain itu, membuat tuntutan kepimpinan bagi sesuatu produk berupaya mencaci, menyangkal dan memperkecil-kecilkan imej produk pesaing sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 3.9 Mencaci, Menyangkal dan Memperkecil-kecil Pihak Lain dan No.19 Lampiran 7 (Senarai Contoh Superlatif/Hiperbola).

Adakah perbandingan dengan produk "Jenama X" dibenarkan dalam iklan?

Sila rujuk kepada Perenggan 4.8, Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar, perbandingan produk ubat berdaftar dengan produk "Jenama X" adalah tidak dibenarkan. Ini adalah kerana produk "Jenama X" adalah produk ubat yang tidak berdaftar dan tidak boleh dikenalpasti. Oleh itu, perbandingan dengan produk ubat yang tidak wujud adalah tuntutan yang palsu. 

Adakah pengiklanan perbandingan dibenarkan dalam iklan?

Sila rujuk kepada Perenggan 4.8, Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar. Pengiklanan perbandingan adalah dibenarkan untuk akuan perbandingan produk-produk keluaran syarikat yang sama.

Halaman-halaman