Pemakluman Penggunaan Label Keselamatan Hologram Baharu Dan Kaedah Pengesahan Ketulenan Label Bagi Produk Farmaseutikal

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Rabu, 17 Disember 2025
Sumber: 
Program Perkhidmatan Farmasi

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan penggunaan label keselamatan hologram FarmaTag versi baharu bagi produk ubat-ubatan sebagai langkah meningkatkan keselamatan, ketulenan serta integriti produk di pasaran berkuat kuasa 2 Oktober 2025.

Sehubungan dengan itu, label keselamatan hologram FarmaTag versi baharu adalah tulen dan sah untuk digunakan di pasaran. Bagi menyokong pengesahan ketulenan label ini, fungsi pengesahan ketulenan bagi label keselamatan FarmaTag baharu akan dimuatkan dalam aplikasi MyUBAT. Walau bagaimanapun, fungsi pengesahan tersebut hanya akan tersedia mulai 1 Januari 2026 apabila aplikasi MyUBAT dikemas kini secara rasmi. Justeru, orang awam dinasihatkan untuk memastikan aplikasi MyUBAT masing-masing dikemas kini mulai 1 Januari 2026 bagi membolehkan fungsi ini digunakan apabila dilancarkan kelak.

Untuk makluman, label keselamatan hologram Farmatag versi lama masih sah di pasaran dan ketulenan boleh disemak melalui aplikasi FarmaChecker, yang boleh dimuat turun melalui gedung aplikasi rasmi seperti Google Play Store dan Apple App Store.

KKM kekal komited untuk memperkukuh sistem pengesahan ketulenan produk berdaftar yang mudah digunakan serta memastikan pengguna mempunyai akses kepada ubat-ubatan yang selamat dan berkesan.

Perhatian dan kerjasama pihak Tuan/Puan adalah amat dihargai.