Isu Penjualan Ubat Perangsang Seks Tanpa Preskripsi

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Rabu, 15 Jun 2016
Sumber: 
Bahagian Perkhidmatan Farmasi

ISU PENJUALAN UBAT PERANSANG SEKS TANPA PRESKRIPSI 

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih dan memandang serius laporan dari akhbar KOSMO bertarikh 15 Jun 2016 bertajuk “Ubat Perangsang Seks Bebas Dijual di Farmasi”, di mana ianya adalah berkaitan dengan penjualan ubat peransang seks secara meluas di farmasi swasta. Keselamatan pengguna adalah menjadi keutamaan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat secara menyeluruh. Adalah menjadi kesalahan di bawah Akta Racun 1952 untuk mana-mana ahli farmasi menjual apa-apa jenis ubat terkawal dari kumpulan B (Jadual Pertama Akta Racun 1952) tanpa preskripsi yang sah dari pengamal perubatan berdaftar. Jika sabit kesalahan mana-mana pihak boleh didenda sehingga RM5,000.00 atau hukuman penjara sehingga 3 tahun atau kedua- duanya sekali.

Sejak 2014 sehingga kini 6,836 premis farmasi telah diperiksa dan 163 farmasi telah diambil tindakan mahkamah atas kesalahan di bawah Akta yang dikuatkuasakan. Susulan daripada laporan oleh akhbar KOSMO, Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM akan mempergiatkan lagi pemeriksaan ke atas farmasi di sekitar ibu negara dan Selangor yang dikatakan menjual ubat peransang seks tanpa meminta preskripsi doktor. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana farmasi yang didapati terlibat melakukan kesalahan menjual ubat tanpa preskripsi doktor.

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memberi amaran tegas kepada semua farmasi agar sentiasa mematuhi peraturan dan Akta sediada, ataupun bersedia untuk diambil tindakan mahkamah termasuk pembatalan lesen ahli farmasi yang terlibat oleh Lembaga Farmasi Malaysia (LFM).

Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
15 Jun 2016