- Daftar Lesen (Manual)
- GARIS PANDUAN PEMBEKALAN UBAT KEPADA PESAKIT YANG DIDISCAJ MELALUI SURAT RUJUKAN BAGI MENERUSKAN RAWATAN DI FASILITI KESIHATAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA EDISI 2024
- Pembangunan Profesional Berterusan (CPD)
- PENCALONAN AHLI JAWATANKUASA EDITORIAL E-JURNAL INISIATIF KUALITI PROGRAM PERKHIDMATAN FARMASI, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA BAGI SESI 2025 - 2027
- Panduan Permohonan Penyenaraian Awal Profesion Penolong Pegawai Farmasi/Juruteknologi Farmasi di Sektor Kerajaan dan Swasta dengan Bahagian Lembaga Farmasi Malaysia
Soalan Lazim berkaitan
Hubungi Kami
Lot 36,
Jalan Universiti (Jalan Prof Diraja Ungku Aziz),
46200 Petaling Jaya, Selangor.
[ Peta Lokasi ]
Tel: 603-7841 3200
Faks: 603-7968 2222
Anda di sini
Kenyataan Akhbar KPK: Amaran Kepada Orang Awam Produk CHR
KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
AMARAN KEPADA ORANG AWAM MENGENAI PENGAMBILAN PRODUK TIDAK BERDAFTAR ‘CREATIVE HEALTH RESOURCES (CHR) CREATIVE HERBS DAN CREATIVE HEALTH RESOURCES (CHR) CREATIVE NUTRITION’
1. Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) ingin mengingatkan dan menasihatkan orang awam agar tidak membeli atau menggunakan produk-produk tidak berdaftar yang dijual sebagai ubat tradisional dengan nama CREATIVE HEALTH RESOURCES (CHR) CREATIVE HERBS dan CREATIVE HEALTH RESOURCES (CHR) CREATIVE NUTRITION (gambar produk disertakan dalam LAMPIRAN A dan LAMPIRAN B).
PERIHAL PRODUK DAN KESAN ADVERS YANG DILAPORKAN
2. Sampel produk-produk tersebut telah diperoleh melalui laporan kesan advers yang diterima oleh Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, NPRA. Hasil ujian yang telah dilakukan oleh NPRA mendapati bahawa kedua-dua produk tersebut telah dicampurpalsu dengan dexamethasone (sejenis kortikosteroid) dan chlorpheniramine (sejenis antihistamin) yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.
3. Label pada kedua-dua produk tersebut menyatakan bahawa produk-produk ini digunakan secara tradisional untuk kesihatan umum dan untuk menguatkan badan. Semakan lanjut mengesahkan bahawa kedua-dua produk tersebut adalah tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan merupakan produk yang perlu berdaftar.
4. NPRA telah menerima sebanyak dua (2) laporan kesan advers yang melibatkan produk CHR CREATIVE HERBS dan tiga (3) laporan kesan advers yang melibatkan produk CHR CREATIVE NUTRITION. Antara kesan advers yang dilaporkan adalah peningkatan berat badan, kembung perut, muka membulat (moon face) dan kelemahan fungsi kelenjar adrenal yang boleh menyebabkan masalah lain seperti tekanan darah dan paras gula dalam darah yang tidak terkawal.
PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL
5. Dexamethasone adalah sejenis kortikosteroid yang poten dan ia digunakan untuk rawatan masalah pembengkakkan dan radang yang serius. Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom cushing. Pesakit yang menghidap kencing manis adalah berisiko tinggi kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi yang serius.
6. Chlorpheniramine adalah sejenis antihistamin yang digunakan untuk melegakan selesema serta reaksi alahan seperti ruam. Kesan sampingan chlorpheniramine termasuk mengantuk, penglihatan kabur, muntah-muntah, sembelit dan kelemahan koordinasi anggota badan.
PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK INI
7. Sesiapa yang mempunyai stok produk-produk ini dinasihatkan untuk menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan bahawa pemilikan untuk jualan produk-produk ini adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM
8. Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk ini adalah disarankan supaya SEGERA mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. Pengguna yang telah mengambil produk ini untuk jangkamasa yang lama dinasihatkan supaya tidak memberhentikan penggunaannya secara mendadak kerana ini boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan (akibat withdrawal syndrome).
9. Orang awam digesa supaya tidak membeli atau menggunakan produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kerana tidak dijamin kualiti dan keselamatannya. Mereka juga diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang dijual dengan tuntutan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit terutamanya produk tradisional yang memberi kesan dengan cepat.
10. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk-produk tidak berdaftar ini dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang www.pharmacy.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan ATAU melaui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras pengedaran produk-produk ini di pasaran.
11. Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my/ ATAU dengan menghubungi NPRA di talian 03-78835400.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
16 Disember 2016
- 4071 bacaan