Kawalan Membawa Masuk/ Mengimport Produk Kesihatan Termasuk Ubat-Ubatan, Vitamin, Suplemen Kesihatan Dan Produk Tradisional Serta Produk Kosmetik Untuk Kegunaan Peribadi Melalui Kurier Atau Bungkusan Antarabangsa

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Isnin, 24 March 2025

Perubahan trend pembelian secara konvensional kepada pembelian dalam talian di Malaysia telah berlaku sejak kewujudan pelbagai medium perdagangan dalam talian yang membolehkan pengguna membuat pembelian pelbagai produk secara terus dalam talian seperti melalui  platform e-dagang atau laman sesawang yang disediakan oleh pihak penjual. Penjualan produk secara dalam talian turut melibatkan penjualan produk yang dikawal oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Penjualan produk tersebut tidak hanya melalui platform e-dagang dan laman sesawang di Malaysia, malah melibatkan platform e-dagang dan laman sesawang dari luar negara yang turut merangkumi aktiviti pengimportan produk tersebut ke dalam Malaysia sebelum sampai kepada pembeli.

 Akta Racun 1952, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan - Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 adalah Akta dan Peraturan yang mengawal pengimportan produk kesihatan termasuk ubat-ubatan, vitamin dan produk tradisional serta kosmetik ke Malaysia. Hanya produk kesihatan yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta kosmetik bernotifikasi dengan KKM dibenarkan untuk diimport/ dibawa masuk dan pengimportan perlu dilakukan oleh pengimport yang mempunyai lesen atau pemegang notifikasi. Maklumat status pendaftaran produk kesihatan atau notifikasi kosmetik di Malaysia boleh disemak di bawah carian maklumat produk pada laman web http://www.npra.gov.my.

Pemakluman ini dibuat memandangkan ramai yang tidak menyedari bahawa  mengimport produk kesihatan tidak berdaftar dengan KKM atau kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM untuk kegunaan sendiri melalui kurier atau bungkusan antarabangsa adalah tidak dibenarkan dan melanggar peruntukan undang-undang di Malaysia dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM 25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.

              Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian di bawah Peraturan 15(6) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 daripada keperluan pendaftaran dan pelesenan untuk mengimport produk kesihatan yang tidak berdaftar bagi tujuan rawatan penyakit yang mengancam nyawa dengan tertakluk kepada syarat tertentu.

 

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh diajukan melalui e mel kepada pelesenanbpf@moh.gov.my atau hubungi talian 03-7841 3200/ 3320.