Amaran Kepada Orang Awam Mengenai Pengambilan Produk Tidak Berdaftar Figure-Up

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Rabu, 30 Oktober 2013

Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan orang awam agar mengelakkan daripada membeli dan menggunakan PRODUK TIDAK BERDAFTAR dengan nama “Figure-Up” yang dijual bagi tujuan pelangsingan badan.

PERIHAL PRODUK

Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, KKM telah mendapat maklumat bahawa produk “Figure-Up” telah dikesan oleh pihak berkuasa Brunei mengandungi bahan racun berjadual sibutramine. Semakan juga mendapati produk ini banyak dipromosikan dan dipasarkan melalui penjualan internet bagi menurunkan berat badan. Label produk juga mengelirukan pengguna dengan menyatakan ia hanya mengandungi ramuan semulajadi dan dihasilkan di kilang yang bertaraf Amalan Pengilangan Baik (APB). Hasil siasatan lanjut mendapati nama syarikat yang tertera pada label produk iaitu Biospecialty Food Trading yang beralamat palsu di Kota Damansara, Selangor merupakan syarikat yang tidak dilesenkan di bawah  Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

Sibutramine adalah ubat terkawal yang digunakan untuk rawatan obesity. Namun demikian, ubat-ubatan yang mengandungi sibutramine telah ditarik balik pendaftarannya di Malaysia pada 23 Disember 2012 atas sebab peningkatan risiko kesan advers kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok. Antara kesan sampingan lain yang biasa dikaitkan dengan sibutramine adalah peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, kering mulut dan tekak, muntah, cirit-birit, pening, sakit kepala dan kesukaran tidur.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK INI

Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan produk “Figure-Up”adalah dinasihatkan supaya SEGERA menghentikan pengambilan produk ini atas sebab risiko penggunaannya yang boleh memudaratkan kesihatan. Orang awam boleh mendapatkan nasihat dan rawatan dari profesional kesihatan sekiranya perlu. Bahagian ini juga menggesa agar pengguna lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan produk-produk kesihatan yang banyak dipromosikan melalui penjualan internet.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya dapat menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-7841 3200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membenteras pengedaran produk ini di pasaran.

Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-7883 5400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my

 

DATO’ EISAH BINTI ABDUL RAHMAN
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia