KIK Avatar Rangkul Anugerah Emas di IQPC 2013, Medan, Indonesia

International Quality & Productivity Convention (IQPC) 2013 yang diadakan pada 25 – 29 November 2013 di Medan, Indonesia merupakan konvensyen yang mengetengahkan pelbagai projek dan idea kualiti bagi meningkatkan lagi produktiviti dan mutu kerja sesuatu organisasi. Konvensyen yang diadakan pada kali ini telah menyaksikan Kumpulan KIK Avatar daripada Jabatan Farmasi, Hospital Wanita & Kanak-kanak, Sabah telah merangkul Anugerah Emas sekaligus mengharumkan nama Negara.  

Kumpulan Avatar yang mempertaruhkan projek bertajuk “Sukar Menyemak Dos Pesakit Pediatrik” telah bertanding bersama 262 kumpulan lain daripada 4 negara Asia iaitu Indonesia, Singapura, Malaysia dan China. Kumpulan  KIK Avatar yang dianggotai oleh Hajah Nur Salzalina Lee Abdullah, Roger Tanduba, Lee Siaw Vun, Lee Leong Shean, Marilyn Simon @ Semoi, Zakaria Timbang, Cherist Liung Basar dan Raema Abd Rahman telah berjaya meyakinkan dan menambat hati pihak juri daripada Negara Indonesia dan panel daripada Negara Jepun semasa sesi pembentangan dan viva.  

Mengimbau lakaran kejayaan kumpulan ini, Kumpulan Avatar ini telah menempa sejarah dengan menggondol Anugerah Emas di Konvensyen ICC Kebangsaan 2013 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang telah berlangsung pada bulan Oktober 2013. Terdahulu, kumpulan ini memenangi tempat ketiga di Konvensyen KIK Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia  (KKM) 2013 bagi Kategori Pengurusan dan memenangi tempat ketiga di Konvensyen Inovasi & Kreativiti Farmasi (KIKF) 2013 anjuran Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM bagi Kategori KIK.

 Selain Avatar, Malaysia turut diwakili oleh 2 kumpulan lain daripada Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor dan Bahagian Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM).