Soalan Lazim berkaitan
Hubungi Kami
Lot 36,
Jalan Universiti (Jalan Prof Diraja Ungku Aziz),
46200 Petaling Jaya, Selangor.
[ Peta Lokasi ]
Tel: 603-7841 3200
Faks: 603-7968 2222
Anda di sini
Kempen Jauhi Ubat Kuat Tidak Berdaftar

Kempen JAUHI UBAT KUAT TIDAK BERDAFTAR dijalankan pada tahun 2023 bagi meningkatkan kesedaran pemegang taruh dan orang awam berhubung bahaya penggunaan ubat perangsang seks (ubat kuat) secara sewenang-wenangnya tanpa pengawasan professional kesihatan yang bertauliah.
Ubat perangsang seks merupakan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah seksual seperti mati pucuk, impotens atau juga dikenali sebagai Erectile disfunction (ED). Di Malaysia, beberapa jenis ubat perangsang seks telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD dibawah kategori ubat terkawal dengan huruf “A” di akhir no pendaftarannya. Ubat untuk rawatan penyakit berkaitan fungsi seksual ini tidak boleh diiklankan di mana-mana media penyiaran kerana dilarang secara mutlak dibawah Seksyen 3 Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 dan hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar atau oleh ahli farmasi berlesen dengan preskripsi yang sah. Antara jenama ubat perangsang seks yang popular adalah Viagra (mengandungi sildenafil) dan Cialis (mengandungi tadalafil).
Masalah atau kelemahan yang masih dianggap taboo ini sering mendorong individu berkaitan mengelakkan diri daripada mendapatkan rawatan dan mempertaruhkan nasib mereka di tangan penjual-penjual tidak bertauliah ini. Antara kesan advers pengambilan ubat perangsang seks adalah tekanan darah rendah di mana pengguna akan merasa pening hingga hampir pitam. Penggunaan tanpa kawalan juga boleh menyebabkan kerosakan hati, buah pinggang dan gangguan mental. Kombinasi dengan bahan nitrat yang terdapat di dalam produk lain boleh menyebabkan kesan kardiovaskular yang teruk sehingga boleh menyebabkan mati mengejut.
Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM telah mengesan berlakunya penjualan ubat perangsang seks atau ubat kuat secara dalam talian melibatkan laman internet, portal e-dagang, media sosial ataupun menggunakan aplikasi telefon pintar. Antara jenis produk perangsang seks yang telah dikesan adalah:
- Tablet atau pil perangsang seks tidak berdaftar atau tiruan seperti Vimax, Maxup atau American Superman;
- Kandi atau gula-gula yang dicampur sildenafil, tadalafil atau terbitannya;
- Minuman seperti kopi pracampur yang dicampur sildenafil, tadalafil atau terbitannya.
- Tisu atau krim yang dicampur anestetik setempat seperti lidocaine atau prilocaine
Awas! Sesiapa yang didapati bersalah menjual atau membekalkan ubat peransang seks tidak berdaftar boleh didenda sehingga RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali dibawah Akta Jualan Dadah 1952. Kesalahan mengiklankan ubat peransang seks pula boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali dibawah Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956
Marilah kita bersama-memainkan peranan bagi membantu menangani masalah ini. Sila laporkan sebarang aduan atau maklumat berhubung penjualan ubat kuat tidak berdaftar melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di https://moh.spab.gov.my.
Waspada Penjualan Ubat Secara Dalam Talian! Dapatkan nasihat professional kesihatan sekiranya anda menghadapi sebarang masalah kesihatan ataupun masalah seksual. Anda boleh membantu membuat perubahan!
- 3044 bacaan