Ulasan Laporan "Melecur Disapu Krim Kurus"

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Jumaat, 14 Jun 2013
Sumber: 
Sinar Harian

Laporan akhbar yang dinyatakan di dalam akhbar berbahasa Melayu seperti di atas melaporkan berkenaan produk krim panas yang digunakan untuk tujuan menguruskan badan oleh seorang wanita tetapi disalah guna oleh anak-anaknya. Di dalam kejadian itu, bahagian belakang anaknya yang berusia dua tahun telah disapu dengan krim tersebut oleh abangnya yang berusia lima tahun dan akibatnya bahagian belakang kanak-kanak tersebut didakwa melecur dan menjadi kemerah-merahan yang berlarutan selama empat jam.

Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah menjalankan siasatan lanjut dan berdasarkan maklumat yang diperolehi, produk tersebut adalah merujuk kepada Losyen Kak Chik. Semakan ke atas pangkalan data produk kosmetik bernotifikasi BPFK mendapati bahawa produk tersebut pernah dinotifikasikan oleh syarikat Nur Ilham Product Enterprise, Pulau Pinang tetapi baru sahaja tamat tempoh notifikasinya pada 6 Jun 2013. Walau bagaimanapun, semakan ke atas senarai bahan pada label produk mendapati ianya berbeza dari apa yang telah diisytiharkan semasa notifikasi dibuat. Tuntutan produk yang dinyatakan pada label juga adalah di luar takrifan skop kosmetik.

Pihak BPFK sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas produk tersebut dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak syarikat jika didapati gagal mematuhi keperluan dan garispanduan yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Pengguna adalah dinasihatkan untuk membaca maklumat pada label produk kosmetik bagi mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini serta sentiasa berwaspada dalam kaedah penyimpanan produk seperti dijauhkan dari kanak-kanak agar tidak mendatangkan kemudaratan. Pengguna juga dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi produk kosmetik tersebut melalui laman sesawang rasmi BPFK iaitu di www.bpfk.gov.my sebelum membeli produk kosmetik. Sekiranya pengguna mengalami kesan sampingan atau kesan alergi akibat penggunaan produk kosmetik, pengguna dinasihatkan untuk menghubungi pihak BPFK di talian 03-7883 5532/8495/8496 atau email kepada kosmetik@bpfk.gov.my. Maklumat terperinci seperti nama produk, kesan sampingan yang dialami serta sampel produk yang digunakan adalah diperlukan bagi tujuan siasatan lanjut.

 

Bahagian Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia

4 Julai 2013