Malaysian Statistics on Medicines

Statistik Penggunaan Ubat di Malaysia atau Malaysian Statistics on Medicines (MSOM) adalah laporan penggunaan ubat-ubatan peringkat nasional yang diterbitkan oleh Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Laporan ini mengandungi maklumat jumlah dan corak penggunaan ubat-ubatan negara secara keseluruhannya. Ianya dihasilkan bagi menyokong pemantauan pelaksanaan Dasar Ubat Nasional (DUNas) yang bertujuan untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat akses yang saksama kepada ubat yang selamat, berkesan, kos-efektif dan berkualiti serta meggalakkan penggunaan ubat secara rasional bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat Malaysia.

Projek Statistik Penggunaan Ubat di Malaysia ini merupakan sebuah projek berskala nasional yang melibatkan pengutipan data daripada pelbagai sumber dan peringkat serta memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Laporan statistik ini telah mula dikeluarkan semenjak tahun 2006 dan pada peringkat awalnya dikenali sebagai National Medicines Use Survey (NMUS) kerana menggunakan kaedah ‘survey’ bagi mengumpulkan sebahagian data yang diperlukan. Metodologi pengumpulan data telah ditambahbaik dari masa ke semasa bagi menghasilkan pelaporan yang lebih tepat dan menyeluruh. Bagi laporan MSOM yang terkini, kaedah pengumpulan dan penyemakan data telah dapat diperbaharui dengan adanya kerjasama pintar dengan sebuah entiti swasta. 

TUJUAN PENERBITAN MSOM

Ketersediaan maklumat penggunaan ubat-ubatan yang berkualiti, lengkap dan boleh dipercayai adalah penting dalam menilai corak penggunaan ubat-ubatan di Malaysia. MSOM telah diterbitkan bagi memenuhi keperluan tersebut dengan mengenalpasti pola penggunaan ubat-ubatan di pelbagai peringkat di dalam sistem penjagaan kesihatan di Malaysia. MSOM juga boleh digunakan bagi tujuan-tujuan berikut:

  • Menganggarkan penggunaan ubat-ubatan dan mengkaji perubahan corak penggunaan pelbagai jenis ubat-ubatan yang digunakan di dalam rawatan penyakit tertentu.
  • Menganggarkan bilangan pengguna ubat-ubatan secara keseluruhannya bagi setiap jenis ubat.
  • Menganggarkan tahap perawatan (samada sesuatu ubat digunakan secara berlebihan atau kurang digunakan) bagi penyakit yang diketahui epidemiologinya.
  • Mengenalpasti tahap keseriusan kesan sampingan ubat yang dilaporkan dalam sistem farmakovigilan melalui perbandingan dengan maklumat bilangan pesakit yang terdedah kepada ubat tersebut.
  • Menyediakan anggaran kasar prevalens penyakit berdasarkan kadar penggunaan ubat.
  • Menganggarkan perbelanjaan ubat-ubatan.
  • Memantau kesan intervensi atau perubahan polisi yang memberi kesan kepada corak penggunaan ubat-ubatan seperti kempen promosi, pendidikan pesakit, penyenaraian ubat di dalam formulari, skim pembayaran ubat dan sebagainya.

 

Kategori dokumen: 
Bahan penerbitan