Waspada Penjualan Ubat Dalam Talian

Kempen WASPADA! PENJUALAN UBAT DALAM TALIAN diberikan penjenamaan semula pada tahun 2022 bagi mengemaskini dan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan aktiviti kepada masyarakat

Penjualan dalam talian kini menjadi norma kehidupan dan menjadi alternatif utama masyarakat bagi mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang dikehendaki. Selaras dengan perubahan ini, cara mendapatkan pembekalan ubat-ubatan turut mengalami perubahan. Penjualan ubat kini dilakukan melalui laman internet, portal e-dagang, laman media sosial ataupun menggunakan aplikasi telefon pintar. Keadaan ini secara tidak langsung mendedahkan masyarakat kepada:

  1. Penjualan ubat secara tidak sah oleh penjual yang tidak dilesenkan;
  2. Penjualan ubat tiruan mahupun ubat tidak berdaftar yang boleh mengancam nyawa; dan 
  3. Promosi dan pengiklanan ubat tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Menyedari bahaya dan kesan buruk yang mungkin dihadapi oleh masyarakat, pelaksanaan kempen ini diteruskan bagi:

  1. Memastikan penjualan dan pengiklanan ubat-ubatan sentiasa mematuhi keperluan undang-undang dan tidak mengambil kesempatan atau mengelirukan pengguna.
  2. Meningkatkan kesedaran penjual dan pengguna amnya tentang bahaya dan risiko pembelian ubat secara dalam talian;
  3. Meningkatkan kesedaran pengguna supaya tidak mudah mempercayai iklan-iklan yang disiarkan.dengan tuntutan perubatan tanpa kelulusan KKM

Semua pihak boleh memainkan peranan bagi bersama-sama membantu menangani masalah ini. Sila laporkan sebarang aduan atau maklumat berhubung penjualan ubat dalam talian ataupun penyiaran iklan yang dipercayai  melanggar peruntukan undang-undang melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di URL https://moh.spab.gov.my.

Anda boleh membantu membuat perubahan!

Untuk maklumat lanjut berkaitan kempen ini sila tekan pautan di bawah:

https://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/mini-site/waspada-belian-ubat-online