Umum

Bagaimana untuk membuat aduan sekiranya saya terjumpa produk tidak berdaftar?

Aduan boleh dibuat melalui telefon, e-mel atau secara dalam talian di SINI. Selain itu, aduan juga boleh dibuat dengan cara menghubungi pejabat Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri yang berdekatan.

Bagaimana mengenal pasti ubat-ubatan berdaftar?

Semua produk farmaseutikal termasuk suplemen kesihatan dan ubat-ubatan tradisional perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan di Malaysia. Penilaian terhadap produk perlu dijalankan bagi memastikan kualiti, dan keselamatan produk farmaseutikal serta ubat-ubatan traditional terjamin untuk digunakan oleh masyarakat Malaysia. Selain itu, penilaian keberkesanan juga dijalankan bagi memastikan produk farmaseutikal yang berada dipasaran tempatan adalah berkesan.

Produk yang berdaftar dengan PBKD mempunyai dua ciri-ciri utama iaitu:

  1. Nombor Pendaftaran MAL
  2. Pelekat Hologram FarmaTagTM

Kedua-dua ciri ini perlu dipamerkan pada setiap pek jualan ubat-ubatan.

 

Nombor Pendaftaran MAL

Nombor pendaftaran MAL dimulakan dengan 'MAL', diikuti dengan 8 angka, dan diakhiri dengan kod produk.

Contoh Nombor pendaftaran MAL :    MAL12345678X

Maksud bagi setiap Kod Produk adalah seperti yang berikut:

A:         Ubat terkawal (Ubat preskripsi)

X:         Ubat terkawal tanpa preskripsi atau ubat over-the-counter (OTC)

T:         Ubat tradisional

N:        Suplemen kesihatan contohnya vitamin atau mineral

 

Pelekat Hologram FarmaTagTM

Ketulenan Pelekat Hologram boleh disemak menggunakan :

a. Dekoder

Pengguna juga boleh memeriksa ketulenan hologram FarmaTagTM yang terdapat pada kotak produk menggunakan dekoder yang terdapat di semua premis farmasi berlesen dan pejabat Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di setiap negeri.

b. Aplikasi FarmaTag Checker

Aplikasi ini boleh di muat turun secara percuma daripada Google Play, App Store atau Huawei AppGallery.

 

Sebelum menggunakan ubat-ubatan, pastikan produk tersebut mempunyai Nombor Pendaftaran MAL dan Pelekat Hologram FarmaTagTM. Pengguna juga boleh menyemak status pendaftaran produk farmaseutikal melalui:

a. Laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)

Pautan laman sesawang NPRA adalah https://www.npra.gov.my/. Pengguna boleh menggunakan butang                “Produk Status” untuk memulakan pencarian.  

b. Aplikasi MediQuest

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui aplikasi Android Google Play (untuk pengguna                  telefon bimbit jenis android) atau OS Apps Store (untuk pengguna telefon bimbit jenis iPhone).

Adakah iklan mengenai perkhidmatan estetik dibenarkan?

Perkhidmatan estetik adalah diklasifikasikan sebagai rawatan perubatan dan mestilah dijalankan oleh pengamal perubatan berdaftar. Ianya hanya boleh diiklankan oleh klinik / hospital swasta yg dilesen/berdaftar oleh CKAPS sahaja dengan kelulusan daripada LIU.

Adakah iklan berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan di pusat kecergasan (fitness centre) perlu mendapatkan kelulusan daripada LIU?

LIU tidak memberi kelulusan kepada iklan berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pusat kecergasan. Menurut S4A Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, kelulusan iklan hanya boleh diberikan kepada empat fasiliti iaitu klinik swasta, hospital swasta, makmal perubatan swasta dan klinik radiologikal swasta yang dioperasi oleh pengamal perubatan berdaftar yang mempunyai sijil amalan tahunan yang sah di bawah Medical Act 1971.

Adakah iklan mengenai minuman Tongkat Ali dan Kacip Fatimah memerlukan kelulusan daripada LIU?

Minuman Tongkat Ali dan Kacip Fatimah atau sebarang produk makanan atau minuman adalah diklasifikasikan sebagai produk makanan dan dikawal oleh Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Iklan produk makanan tidak memerlukan kelulusan LIU. Walau bagaimanapun, iklan produk makanan tidak dibenarkan membuat sebarang tuntutan perubatan, seperti meningkatkan keupayaan seksual, mengurangkan sakit-sakit sendi, menurunkan paras gula dalam darah dan sebagainya. Sebarang pertanyaan berkaitan pengiklanan produk makanan boleh layari laman sesawang rasmi BKKM di https://hq.moh.gov.my/fsq/  atau melalui telefon rasmi 03-8885 0796 / 03-8885 0797.

Kenapa LIU membuat banyak pindaan pada format iklan yang dihantar?

Sebarang kelulusan pada format iklan adalah berdasarkan kepada Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan peraturannya. Selain itu, semua format iklan perlu mematuhi garis panduan pengiklanan dan polisi yang dikeluarkan oleh Lembaga Iklan Ubat. Mana-mana tuntutan dan format iklan yang tidak mematuhi akta, garispanduan dan polisi, LIU berhak meminda tuntutan dan format tersebut.

Adakah saya boleh membuat pindaan pada susun atur format tanpa mengubah kandungan iklan yang telah diluluskan oleh LIU? Adakah pindaan sebegini memerlukan kelulusan daripada sekretariat LIU?

Pindaan pada susun atur format tanpa mengubah kandungan iklan yang telah diluluskan oleh LIU adalah dibenarkan tanpa memerlukan kelulusan daripada LIU. Walaubagaimanapun pihak pemohon perlu memaklumkan dengan membuat notifikasi kepada sekretariat melalui emel untuk mengelakkan kekeliruan pegawai penguatkuasaan farmasi semasa proses saringan dijalankan.

Adakah iklan perubatan melalui internet memerlukan kelulusan LIU?

Sebarang jenis penyebaran maklumat mengenai produk dan perkhidmatan kesihatan boleh di klasifikasikan sebagai iklan termasuklah melalui internet. Kelulusan LIU adalah diperlukan sebelum ianya boleh dipaparkan kepada masyarakat.

Adakah LIU memantau dan mengawal iklan yang dibuat oleh syarikat jualan langsung?

Ya, LIU telah meluluskan beberapa iklan berkaitan produk farmaseutikal yang dijual dan dipasarkan oleh syarikat jualan langsung.

Bagaimana untuk memastikan sesuatu iklan itu telah diluluskan oleh LIU?

Sila semak sijil kelulusan yang telah dikeluarkan oleh LIU dan pastikan format yang dilampirkan telah ditandatangani oleh Setiausaha dan penterjemah LIU. Pastikan nombor kelulusan pada format iklan adalah sama seperti nombor pada sijil kelulusan iklan. Contoh nombor kelulusan iklan adalah: ‘KKLIU/1234/2004/ABC’.

Halaman-halaman