Umum

Adakah kelulusan LIU masih diperlukan sekiranya produk farmaseutikal tersebut telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia?

Ya, kelulusan LIU masih diperlukan kerana pendaftaran produk dan pengiklanannya adalah dua perkara berbeza.

Pendaftaran sesuatu produk bergantung kepada keselamatan dan efikasi produk tersebut manakala LIU mengawal dari segi aspek pengiklanan produk. Ini bagi mengelakkan kekeliruan dikalangan masyarakat disamping memastikan iklan itu mematuhi keperluan Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 dan peraturan-peraturannya.

Bolehkah ubat-ubatan yang tidak mempunyai nombor pendaftaran 'MAL' diiklankan di Malaysia?

Tidak, ubat-ubatan yang tidak mempunyai nombor pendaftaran MAL merupakan produk tidak berdaftar dan tidak boleh dijual atau diiklankan di Malaysia. Lembaga Iklan Ubat (LIU) juga tidak akan memberi kelulusan kepada permohonan iklan produk ubat tidak berdaftar.

Bagaimana untuk membuat aduan berkenaan ubat tidak berdaftar?

Aduan boleh dibuat melalui telefon, e-mel atau secara bertulis kepada Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi. Anda juga boleh menghubungi pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan

Apakah prosedur notifikasi bagi produk kosmetik?

Semua produk kosmetik yang ingin dipasarkan di Malaysia perlu dinotifikasikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Dapatkan maklumat lanjut berkenaan prosedur notikikasi produk kosmetik melalui pautan ini https://www.npra.gov.my/index.php/en/cosmetic-main-page.html.

Sekiranya maklumat lanjut diperlukan, hubungi  pegawai yang bertugas di Unit Kosmetik di talian 03-78835537 atau emelkan ke kosmetik@npra.gov.my.

Bagaimana cara pembuangan ubat yang sesuai dan dibolehkan?

Pembuangan ubat ke dalam sumber air melalui sinki atau tandas boleh menyebabkan kesan pencemaran alam sekitar. Untuk makluman, loji kumbahan tidak berupaya merawat sisa kimia dalam air kumbahan, dan ini boleh menyebabkan pencemaran sistem pengairan. Selain itu, sisa ubat-ubatan yang mengandungi bahan kimia larut air boleh memasuki sistem pengairan dan seterusnya membahayakan hidupan akuatik.

Oleh yang demikian, pesakit dinasihatkan agar tidak membuang ubat-ubatan berlebihan atau ubat-ubatan yang telah luput ke dalam sumber air, sebaliknya pesakit disarankan agar memulangkan semula ubat-ubatan tersebut ke hospital atau klinik kesihatan kerajaan yang berdekatan agar pelupusan ubat boleh dilakukan dengan cara yang betul.

Apakah maksud ubat terkawal dan ubat am?

Ubat-ubatan boleh dikategorikan dalam 2 jenis, iaitu Ubat Terkawal dan ubat am. Ubat Terkawal merupakan ubat yang hanya boleh diperolehi dengan preskripsi doktor (sebagai contoh, ubat darah tinggi atau ubat

kencing manis), manakala ubat am merupakan ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor (sebagai contoh, ubat suplemen kesihatan atau vitamin).

Pengkelasan ini boleh dikenalpasti berpandukan abjad yang digunakan pada hujung nombor pendaftaran ubat.  Abjad A digunakan untuk merujuk kepada ubat terkawal manakala abjad T dan X digunakan bagi ubat am.

Halaman-halaman