Industri

Adakah produk minuman dan makanan kesihatan bertujuan untuk pelangsingan badan berdaftar dengan KKM?

Produk minuman adalah dikategorikan sebagai makanan. Oleh yang demikian, produk ini dikawal oleh pihak Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). Produk makanan dan minuman tidak perlu berdaftar dengan KKM.

Walaubagaimanapun, produk makanan adalah dilarang untuk membuat sebarang tuntutan perubatan. Untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan produk tersebut, hubungi BKKM di 03-8885 0797. Secara umumnya, amalan gaya hidup sihat melalui pengambilan diet yang seimbang serta senaman yang bersesuaian merupakan cara yang terbaik bagi menangani masalah berat badan berlebihan.

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) hanya berkuasa mengawal pendaftaran produk farmaseutikal dan kosmetik. Ini tidak termasuk produk kesihatan yang dikategorikan sebagai makanan. Secara umumnya, penggunaan sebarang produk makanan atau penjagaan diri lazimnya bergantung pada budi bicara pengguna itu sendiri.

Borang Permohonan Kebenaran Eksport Persediaan Mengandungi Dextromethorphan

Borang permohonan untuk pemegang Lesen A (Borong atau Borong dan Runcit) yang layak untuk mengeksport persediaan yang mengandungi Dextromethorphan yang berbentuk pepejal sahaja (Contoh: Tablet/ Kapsul/ dll).

Borang yang telah lengkap (termasuk lampiran yang diperlukan seperti yang tersenarai di dalam Borang Permohonan) hendaklah dihantar ke:

Bahagian Penguatkuasa Farmasi,

Kementerian Kesihatan Malaysia,

Lot 36, Jalan Universiti,

46350 Petaling Jaya Selangor.

Melayu

Bagaimana mengenal pasti ubat-ubatan berdaftar?

Semua produk farmaseutikal termasuk suplemen kesihatan dan ubat-ubatan tradisional perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan di Malaysia. Penilaian terhadap produk perlu dijalankan bagi memastikan kualiti, dan keselamatan produk farmaseutikal serta ubat-ubatan traditional terjamin untuk digunakan oleh masyarakat Malaysia. Selain itu, penilaian keberkesanan juga dijalankan bagi memastikan produk farmaseutikal yang berada dipasaran tempatan adalah berkesan.

Produk yang berdaftar dengan PBKD mempunyai dua ciri-ciri utama iaitu:

  1. Nombor Pendaftaran MAL
  2. Pelekat Hologram FarmaTagTM

Kedua-dua ciri ini perlu dipamerkan pada setiap pek jualan ubat-ubatan.

 

Nombor Pendaftaran MAL

Nombor pendaftaran MAL dimulakan dengan 'MAL', diikuti dengan 8 angka, dan diakhiri dengan kod produk.

Contoh Nombor pendaftaran MAL :    MAL12345678X

Maksud bagi setiap Kod Produk adalah seperti yang berikut:

A:         Ubat terkawal (Ubat preskripsi)

X:         Ubat terkawal tanpa preskripsi atau ubat over-the-counter (OTC)

T:         Ubat tradisional

N:        Suplemen kesihatan contohnya vitamin atau mineral

 

Pelekat Hologram FarmaTagTM

Ketulenan Pelekat Hologram boleh disemak menggunakan :

a. Dekoder

Pengguna juga boleh memeriksa ketulenan hologram FarmaTagTM yang terdapat pada kotak produk menggunakan dekoder yang terdapat di semua premis farmasi berlesen dan pejabat Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di setiap negeri.

b. Aplikasi FarmaTag Checker

Aplikasi ini boleh di muat turun secara percuma daripada Google Play, App Store atau Huawei AppGallery.

 

Sebelum menggunakan ubat-ubatan, pastikan produk tersebut mempunyai Nombor Pendaftaran MAL dan Pelekat Hologram FarmaTagTM. Pengguna juga boleh menyemak status pendaftaran produk farmaseutikal melalui:

a. Laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)

Pautan laman sesawang NPRA adalah https://www.npra.gov.my/. Pengguna boleh menggunakan butang                “Produk Status” untuk memulakan pencarian.  

b. Aplikasi MediQuest

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui aplikasi Android Google Play (untuk pengguna                  telefon bimbit jenis android) atau OS Apps Store (untuk pengguna telefon bimbit jenis iPhone).

Apakah prosedur untuk pendaftaran dengan KKM bagi produk kecantikan. Bagaimanakah prosedur dan syarat-syarat yang diperlukan untuk mendapat kelulusan tersebut?

Semua produk kecantikan atau kosmetik perlu mendapat notifikasi yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan di Malaysia. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Unit Kosmetik, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut berkenaan prosedur notifikasi kosmetik. NPRA boleh dihubungi di 03-78835400 atau layari laman web rasmi NPRA di https://www.npra.gov.my. Klik pada 'Cosmetics' untuk memuat turun garis panduan yang digunakan untuk notifikasi produk kosmetik.

Adakah kosmetik di Malaysia mendapat pengesahan status halal

Penggunaan Logo halal adalah dibolehkan untuk produk kosmetik, dengan syarat mendapat persijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Jakim. Walau bagaimanapun, Penggunaan logo halal ini bergantung kepada permohonan sijil oleh pihak pengilang/pengedar dan bukan merupakan keperluan mandatori.

Untuk maklumat lanjut berkaitan kosmetik, layari laman web NPRA www.npra.gov.my, klik kosmetik untuk memuatturun garis panduan berkaitan notifikasi produk kosmetik.

Bagaimanakah cara pembuangan ubat yang betul?

Pembuangan ubat ke dalam sumber air melalui sinki atau tandas boleh menyebabkan kesan pencemaran alam sekitar. Untuk makluman, loji kumbahan tidak berupaya merawat sisa kimia dalam air kumbahan, dan ini boleh menyebabkan pencemaran sistem pengairan. Selain itu, sisa ubat-ubatan yang mengandungi bahan kimia larut air boleh memasuki sistem pengairan dan seterusnya membahayakan hidupan akuatik.Oleh yang demikian, pesakit dinasihatkan agar tidak membuang ubat-ubatan berlebihan atau ubat-ubatan yang telah luput ke dalam sumber air, sebaliknya pesakit disarankan agar memulangkan semula ubat-ubatan tersebut ke hospital atau klinik kesihatan kerajaan yang berdekatan agar pelupusan ubat boleh dilakukan dengan cara yang betul.

Bagaimana ubat dikategorikan?

Ubat-ubatan boleh dikategorikan dalam 2 jenis, iaitu Ubat Terkawal dan ubat am.

Ubat Terkawal merupakan ubat yang boleh diperolehi dengan preskripsi doktor (sebagai contoh, ubat darah tinggi atau ubat kencing manis), manakala ubat am merupakan ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor (sebagai contoh, ubat suplemen kesihatan atau vitamin).

Maklumat lanjut berkaitan  klasifikasi ubat iaitu sama ada ubat tersebut digolongkan dalam Ubat Terkawal atau ubat am, boleh dirujuk pada ahli farmasi di hospital, klinik kesihatan atau farmasi komuniti.

Pharmacoeconomic Guideline for Malaysia (2nd Edition)

Garis panduan ini diterbitkan bertujuan untuk menggalakkan penghasilan kajian farmakoekonomi yang tepat pada masanya, berkualiti, konsisten dan relevan kepada sistem penjagaan kesihatan Malaysia.

Melayu

Bolehkan saya mendapatkan bekalan ubat susulan di mana-mana sahaja selain fasiliti kesihatan yang saya lakukan temujanji bersama doktor?

Boleh, Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB) membolehkan anda mendapatkan bekalan ubat susulan dari mana-mana fasiliti kesihatan terdekat dengan anda. Namun anda perlu memberitahu pegawai farmasi anda bahawa anda ingin menggunakan perkhidmatan SPUB.

Halaman-halaman