Penguatkuasaan Farmasi

LANJUTAN KONTRAK PEMBEKALAN LABEL KESELAMATAN HOLOGRAM BAGI PRODUK BERDAFTAR DENGAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM)

Program Perkhidmatan Farmasi (PPF) ingin memaklumkan bahawa kontrak pembekalan label keselamatan hologram oleh Syarikat Techno Secure Print Sdn. Bhd. (TSP) telah dilanjutkan selama tiga (3) bulan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 sehingga 30 September 2025. 

Apakah yang boleh dilakukan sekiranya mendapat pertanyaan atau ingin mendapatkan penjelasan berkenaan format iklan yang diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat?

Pemohon boleh menghubungi pihak sekretariat Lembaga Iklan Ubat melalui panggilan telefon (03-7841 3200), emel (liu@moh.gov.my), surat-menyurat dan juga perjumpaan secara bersemuka sekiranya memerlukan penjelasan berkenaan format yang diluluskan. Pegawai akan memberikan justifikasi dan penjelasan berkenaan tuntutan yang tidak diluluskan dalam format iklan atau format iklan yang tidak diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat.

Adakah kawalan kendiri iklan produk farmaseutikal dapat dilaksanakan di Malaysia?

Kawalan kendiri tidak dibenarkan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan PLIU 1976. Tertakluk kepada Peraturan 5(1) PLIU 1976, semua iklan mesti diluluskan oleh LIU sebelum disiarkan kepada orang awam. Walau bagaimanapun, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sedang dalam proses pindaan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan PLIU 1976. Penglibatan dan cadangan daripada pihak berkepentingan boleh dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM.

Apakah langkah penambahbaikan seterusnya bagi LIU dalam proses permohonan kelulusan?

Program Perkhidmatan Farmasi kini sedang membangunkan sistem dalam talian yang dipanggil MyPharmaC yang membolehkan permohonan kelulusan iklan secara dalam talian. Sistem ini akan merangkumi pembayaran dan permohonan kelulusan iklan secara dalam talian yang bakal memudahkan proses permohonan dan kelulusan iklan.

Apakah perbezaan antara garis panduan baharu dan garis panduan lama?

Perbezaan utama dalam garis panduan baharu ialah penambahan contoh untuk menjelaskan konteks garis panduan dengan lebih baik. Selain itu, garis panduan baharu juga mengandungi infografik carta keputusan, panduan mengisi borang permohonan, borang permohonan untuk permohonan baru dan pindaan, format surat sokongan selebriti dan keterangan pelanggan, dan notis rayuan kepada Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Terdapat juga perubahan peruntukan dalam garispanduan baharu seperti siaran akhbar produk baharu kini dibenarkan untuk diterbitkan lebih daripada satu kali; produk suplemen boleh ditawarkan sebagai hadiah percuma dengan pembelian produk yang sama; dan kenyataan wajib "Ini adalah ubat/produk tambahan/produk tradisional" telah dikeluarkan dari format iklan turut dinyatakan dalam garis panduan baharu.
 

Adalah iklan yang berkaitan dengan Program Kesedaran Penyakit dibenarkan?

Program kesedaran penyakit atau kempen pendidikan kesihatan yang bertujuan mewujudkan kesedaran tentang kesihatan dan penyakit tanpa mempromosi produk ubat adalah dibenarkan kerana tiada pelanggaran di bawah Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Pihak penganjur hendaklah sentiasa memastikan tiada sebarang iklan berkaitan produk ubat-ubatan disiarkan atau dipamerkan semasa program dijalankan. 

Halaman-halaman