Penguatkuasaan Farmasi

Adakah iklan produk veterinar berdaftar memerlukan kelulusan daripada LIU?

Merujuk kepada Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, 

(1)Tiada seseorang pun boleh mengambil apa-apa bahagian dalam penyiaran apa-apa iklan yang merujuk kepada apa-apa artikel, atau artikel-artikel daripada apa-apa jenis, dalam keadaan yang direncanakan untuk mempengaruhi penggunaan artikel atau artikel-artikel daripada jenis itu sebagai ubat, alat atau penyembuh, bagi maksud merawat atau mencegah penyakit atau keadaan manusia selain penyakit dan keadaan yang dinyatakan dalam subseksyen 3(1), melainkan jika iklan itu telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat.

Sehubungan dengan itu, iklan produk veterinar yang digunakan untuk haiwan bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Iklan Ubat. Selain itu, Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar juga menetapkan bahawa panduan ini tidak terpakai kepada iklan produk veterinar (Perenggan 1.3 Skop Pemakaian).
 

Adakah penawaran produk percuma dibenarkan dengan pembelian produk yang sama?

Ya, berkuatkuasa pada 1 Oktober 2022, pemberian produk percuma adalah dibenarkan bagi iklan produk suplemen sahaja. Produk percuma tidak dibenarkan untuk iklan produk tradisional, produk tanpa preskripsi (Over The Counter medicine, OTC) atau produk racun. Sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Iklan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 8.4 Produk Percuma.

Adakah tawaran hadiah percuma dengan pembelian produk kesihatan dibenarkan dalam iklan? Apakah jenis hadiah percuma yang dibenarkan oleh LIU?

Ya, sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Iklan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 8.3 Hadiah. Walaubagaimanapun, sebarang tawaran hadiah mahal yang mampu mendorong orang awam untuk membeli produk, bukan atas keperluan sebenar, tidak dibenarkan. Sila rujuk juga kepada Garis Panduan Kelulusan Iklan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 8.2 Galakan Pembelian Keterlaluan Atau Penggunaan Sembarangan. Contoh hadiah percuma yang dibenarkan termasuk pen, cawan, mainan lembut, dan sebagainya.

Bolehkah tuntutan kepimpinan (contoh: No. 1) produk dibuat dalam iklan?

Tidak, penggunaan tuntutan kepimpinan bagi sesuatu produk adalah dilarang. Tinjauan yang bergantung pada data yang tidak disahkan, disebabkan oleh ketiadaan pengiktirafan oleh pihak berkuasa, tidak boleh dibenarkan. Selain itu, membuat tuntutan kepimpinan bagi sesuatu produk berupaya mencaci, menyangkal dan memperkecil-kecilkan imej produk pesaing sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 3.9 Mencaci, Menyangkal dan Memperkecil-kecil Pihak Lain dan No.19 Lampiran 7 (Senarai Contoh Superlatif/Hiperbola).

Adakah perbandingan dengan produk "Jenama X" dibenarkan dalam iklan?

Sila rujuk kepada Perenggan 4.8, Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar, perbandingan produk ubat berdaftar dengan produk "Jenama X" adalah tidak dibenarkan. Ini adalah kerana produk "Jenama X" adalah produk ubat yang tidak berdaftar dan tidak boleh dikenalpasti. Oleh itu, perbandingan dengan produk ubat yang tidak wujud adalah tuntutan yang palsu. 

Adakah pengiklanan perbandingan dibenarkan dalam iklan?

Sila rujuk kepada Perenggan 4.8, Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar. Pengiklanan perbandingan adalah dibenarkan untuk akuan perbandingan produk-produk keluaran syarikat yang sama.

Adakah kenyataan daripada profesional Kesihatan dibenarkan dalam iklan produk kesihatan?

Profesional kesihatan dibenarkan untuk menyertai siaran akhbar produk baharu bagi menjelaskan tentang penyakit, statistik penyakit, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, profesional kesihatan tidak dibenarkan sama ada secara langsung atau tidak langsung, untuk mempromosi, mencadang, memberi sokongan atau menggalakkan penggunaan produk baharu dalam iklan yang diterbitkan. Sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar Perenggan 4.3 Tanggapan Nasihat atau Endorsan Professional Penjagaan Kesihatan.
 

Adakah kreativiti dibenarkan dalam iklan?

Kreativiti dalam iklan produk kesihatan adalah dibenarkan dengan syarat kreativiti tersebut tidak mengelirukan orang awam, selari dengan indikasi produk yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), dan mematuhi garis panduan serta dasar yang ditetapkan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU). Keputusan ini telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Lembaga Iklan Ubat Bil. 3/2021 pada Disember 2021. Sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar:

Perenggan 3.3 Kreativiti, subseksyen 3.3.1- Kreativiti dalam iklan produk hendaklah selari dengan prinsip-prinsip pengiklanan dalam Garis Panduan.

Perenggan 3.3 Kreativiti, subseksyen 3.3.2- unsur kreativiti dalam iklan tidak boleh mengabaikan keselamatan pengguna. Memandangkan produk yang diiklankan adalah produk ubat yang memberikan kesan terhadap kesihatan pengguna, maklumat yang disampaikan melalui iklan hendaklah jelas, tepat dan tidak boleh mengelirukan atau dikaburi dengan unsur-unsur kreativiti yang berlebihan. 

Perenggan 3.3 Kreativiti, subseksyen 3.3.3- unsur kreativiti dalam iklan tidak boleh mengabaikan standard kemoralan dan kesopanan yang diamalkan di Malaysia.

Selain itu, dalam Mesyuarat LIU Bil. 1/2020 yang diadakan pada 8 Julai 2020, ahli-ahli LIU menegaskan bahawa iklan produk kesihatan yang melibatkan penggunaan pesakit tidak boleh disama-tandingkan dengan iklan produk bukan kesihatan lain yang tidak dikawal seperti detergen.
 

Adakah watak haiwan/ bukan manusia dibenarkan dalam iklan?

Semua watak haiwan/ bukan manusia yang telah diluluskan dalam pembungkusan produk adalah dibenarkan dalam iklan produk Kesihatan sesuai dengan tuntutan perubatan yang didaftarkan. 
Sila rujuk kepada Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar:

Perenggan 3.2, Prinsip Am subseksyen 3.2.2 - iklan hendaklah mengandungi maklumat yang boleh dipercayai, tepat, benar, bermaklumat, adil, objektif, tidak kabur, seimbang, terkini, boleh disahkan dan tidak menyinggung perasaan

Perenggan 3.5 Gambar haiwan dalam iklan - gambar haiwan dalam iklan hendaklah digunakan secara waspada supaya tidak mengelirukan pengguna bahawa produk yang diiklankan adalah produk veterinar.
 

Adakah syarikat dibenarkan untuk membuat permohonan pindaan ke atas format iklan yang telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat?

Syarikat dibenarkan untuk membuat permohonan pindaan ke atas format iklan yang diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat dalam tempoh dua (2) bulan daripada tarikh kelulusan dikeluarkan. Pihak syarikat boleh mengemukakan permohonan pindaan dengan mengisi Borang Permohonan Pindaan Kelulusan Format Iklan (Borang K-FR-27) dan menyertakan dokumen yang diperlukan serta justifikasi permohonan dikemukakan. Sila rujuk Perenggan 2.15 Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Bardaftar. Sekiranya melepasi tempoh yang ditetapkan, permohonan pindaan tidak akan diproses dan pihak syarikat perlu mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan kelulusan.

Halaman-halaman